2.2 C
New York
Saturday, January 18, 2025

Jumlah produksi dan jualan kenderaan di Thailand jatuh lebih dari 20% untuk 11 bulan pertama 2024


Jumlah produksi dan jualan kenderaan di Thailand jatuh lebih dari 20% untuk 11 bulan pertama 2024

Seperti dijangka, sektor automotif Thailand menunjukkan prestasi yang hambar tahun ini. Menurut laporan Bangkok Publish dan The Nation, jumlah produksi dan jualan kenderaan di negara berkenaan telah menjunam untuk 11 bulan pertama tahun ini, di mana masing-masing menunjukkan kejatuhan sehingga 20.14% dan 26.69%.

Persekutuan Industri Thailand (FTI) Kelab Industri Automotif yang melaporkan angka-angka prestasi berkenaan awal minggu ini menyatakan bahawa kejatuhan tersebut adalah akibat dari proses kelulusan pembiayaan kenderaan yang lebih ketat, disebabkan oleh kelembapan ekonomi dan lonjakan pinjaman tidak berbayar (NPL) dalam kalangan pembeli kereta pada suku ketiga.

Naib pengerusi FTI dan jurucakap kelab auto berkenaan, Surapong Paisitpatanapong berkata dari Januari hingga November Thailand memproduksi sejumlah 1,364,119 unit kenderaan, atau turun 20.14% berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Daripada jumlah ini, 117,251 unit kenderaan diproduksi pada November, turun 28.23% daripada tempoh yang sama tahun lalu.

FTI kekal berharap jumlah produksi akan mencapai sasaran baru yang lebih rendah yang ditetapkan iaitu 1.5 juta unit untuk 2024, turun 1.7 juta unit dari sasaran awal, dan juga menjadi sasaran terendah sejak 2021. Sasaran 1.7 juta itu sendiri dikurangkan pada Julai, berbanding 1.9 juta unit sebelumnya.

Jumlah produksi dan jualan kenderaan di Thailand jatuh lebih dari 20% untuk 11 bulan pertama 2024

Dari segi jualan, Surapong berkata sebanyak 518,659 kenderaan telah dijual dari Januari hingga November, penurunan volum sebanyak 26.69% berbanding tahun lepas. Pada November, 42,309 kenderaan telah dijual, iaitu peningkatan 12.25% daripada Oktober tetapi susut 31.34% berbanding bulan yang sama tahun lepas. Sementara itu, NPL dalam kalangan pembeli kenderaan meningkat 22.8% pada suku ketiga tahun ini, berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Manakala untuk eksport, Thailand menghantar 942,867 kenderaan keluar negara dari Januari hingga November 2024, turun 8.21% daripada tempoh yang sama tahun lepas. Pada November lalu pula, eksport mencatatkan sebanyak 89,646 kenderaan, susut 10% daripada November 2023.

Pada bulan November, jualan semua jenis kenderaan di negara itu jatuh, kecuali model-model hibrid plug-in yang menyaksikan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 346% iaitu kepada 223 unit. Walau bagaimanapun, jumlah jualan segmen berkenaan adalah kecil, iaitu hanya 0.53% daripada jumlah keseluruhan.

Dari segi jualan keseluruhan, kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman merupakan masih memegang bahagian terbesar dengan pegangan 28.3% daripada keseluruhan jualan November, diikuti oleh segmen pikap (27.1%) dan kenderaan elektrik hibrid (17.9%).

FTI menjangkakan jumlah jualan, eksport dan pembuatan kenderaan pada 2025 adalah pada tahap sama dengan tahun ini. “KDNK Thailand mesti berkembang 4-5% untuk meningkatkan ekonomi dan sektor automotif,” kata Surapong.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.



Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Latest Articles