Pasti menarik dan bermakna untuk melihat hadirnya sebuah kereta konsep oleh pengeluar tempatan, memandangkan ia adalah cerminan kepada sesuatu reka bentuk yang boleh kita miliki apabila siap diproduksi nanti. Ini samalah halnya dengan rekaan konsep Perodua eMO-II yang mula ditunjukkan semalam di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024.
Ia adalah lanjutan kepada perkembangan pembangunan EV nasional oleh Perodua, seperti yang diminta oleh kerajaan. eMO pertama sekali muncul sebagai mannequin skala 1:6 pada Mei 2023. Tapi mannequin eMO-II yang ditunjuk semalam adalah lanjutan daripada perkembangan tersebut — ia kini sebuah mannequin konsep dengan saiz sebenar, dan menjadi tanda kepada perjalanan EV Perodua setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad menjelaskan ini sebagai “episod kedua” bagi perjalanan EV itu. “Episod ketiga” harapnya kita akan melihat EV yang siap diproduksi yang akan muncul tahun depan.
“Prototaip ini adalah penerus perjalanan EV kami, dalam usaha Perodua untuk membangunkan teknologi berkenaan dari sifar. eMO-II menampilkan banyak penambahbaikan berbanding pendahulunya dari segi penggayaan dan ciri, dan kini lebih menyerlah sebagai calon EV di masa hadapan,” ujarnya. eMO-II masih lagi sebuah prototaip, dan akan ada banyak lagi ciri yang diperkemas sebelum diproduksi.
eMO-II dibangunkan sepenuhnya sendiri oleh pasukan R&D Perodua. “Ia menjadi satu lekuk pembelajaran yang penting bagi pasukan kami dalam kerjasama dengan beberapa perunding untuk memahami gerak kerja sesebuah EV. Apapun, semuanya berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” tambah Zainal.
Antara perkara yang perlu dilakukan adalah untuk mendapatkan bantuan bakar dalam bidang masing-masing, dan Bufori sangat arif tentang penyudah dan mengecat kenderaan — hasil yang dilihat pada protoip eMO-II ini melibatkan kerja tangan mereka yang berpusat di Sungai Buloh.
Memandangkan ekosistem EV di Malaysia belum kukuh, pengeluaran EV Perodua ini nanti bakal menyaksikan komponen seperti motor, inverter dan bateri akan diimport, dengan hasrat untuk melakukan lokalisasi sentiasa ada. Bateri misalnya akan didapatkan daripada CATL, satu daripada pengeluar bateri EV utama dunia.
Perodua juga sebelum ini telah menandatangani MoU bersama pengendali stesen pengecas, Gentari — yang merupakan sebuah anak syarikat Petronas — yang bakal menyaksikan pemasangan kemudahan pengecasan di pusat servis Perodua. Ia bertujuan untuk menyokong keperluan pelanggan Perodua dalam peralihan mereka kepada EV.
“Kami akan membuat pengumuman lanjut berkaitan sistem pengecasan kerana kami merancang untuk mempunyai stesen pengecas di setiap 40 atau 50 km, sama ada dalam bentuk pengecas tetap atau mudah alih, yang ketika ini masih dikaji. Kami juga sedang melihat kepada nilai jualan semula, kerana kami ingin mengekalkan nilai unit terpakai walaupun untuk EV,” tambahnya.
Untuk harga, ia menjadi faktor penting yang akan menentukan sama ada pelanggan akan membeli EV ini nanti atau sebaliknya. Untuk itu, mannequin produksi eMO-II nanti akan dijual dalam julat harga antara RM50,000 hingga RM90,000 jelas Zainal. Beliau yakin yang EV Perodua nanti akan jadi yang termurah yang dijual di Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.